Darjah 5

Isnin, 1 Oktober 2012

PANTUN

Salam sejahtera kepada semua.  Hari ini anda semua akan diperkenalkan dengan pantun.  Selepas itu anda dikehendaki menulis dua rangkap pantun empat kerat.  Sebelum itu mari kita lihat apakah itu pantun dan bagaimana kita boleh menulis pantun.  Ayoh!


Pantun merupakan satu puisi Melayu sejati. Pantun terpendek terdiri daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama dihujungnya. Baris-baris ini pula boleh dikumpulkan menjadi empat, enam ataupun lapan baris. Jarang terdapat pantun yang melebihi lapan baris dan pada kebiasaannya pantun terdiri daripada empat barisan.
Pantun terbahagi kepada dua bahagian sama banyak rangkapnya, iaitu bahagian pembayang dan diikuti pula dengan maksud pantun. Bahagian pembayang bagi pantun empat kerat terdiri daripada dua ayat pembayang dan dua ayat maksud, dan bagi pembayang pantun lapan kerat adalah empat ayat pembayang dan empat ayat maksud dan demikianlah seterusnya.


Dalam erti kata yang lain, pantun terdiri dari dua, empat dan lapan kerat/baris.  Pantun empat dan lapan kerat mengandungi pembayang dan maksud.  Pembayang dan maksud tidak seharusnya mempunyai makna yang sama.

Pantun empat kerat/baris

Dalam satu rangkap pantun empat kerat, semestinya mempunyai dua baris pembayang dan dua baris maksudnya. Keduanya tidak perlu mempunyai kaitan cerita. Terus sahaja kepada contoh, kita akan melihat cara-cara untuk menulis pantun mengenai hari raya. Cara mudah ialah dengan menulis maksudnya dahulu iaitu baris ketiga dan keempat.


tangan dihulur salam diberi --- baris ketiga

sama bermaafan di hari raya --- baris keempat

Ini adalah isi utama yang hendak disampaikan kepada pembaca mengenai hari raya. Setelah dipastikan dua baris maksud ini sempurna, baharulah kita cuba memilih kata-kata sebagai pembayang iaitu baris pertama dan keduaSentiasa perhatikan huruf/bunyi terakhir bagi kedua-dua baris, dalam contoh di atas huruf i dan a. Jadi, perkataan yang akan dipilih untuk pembayang mesti mempunyai huruf i dan a di hujungnya.



anak Pak Ali suka berlari --- baris pertama

berlari-lari di tepi paya --- baris kedua
Pantun menjadi lengkap apabila sudah mempunyai dua baris pembayang dan dua baris maksud. 


Anak Pak Ali suka berlari,
Berlari-lari di tepi paya;
Tangan dihulur salam diberi,
Sama bermaafan di hari raya.  

Mudahkan! Sekarang ini giliran kamu untuk menghasilkan pantun empat kerat.  Selamat mencuba!

TUGASAN

  1. Sila lungsuri lelaman internet.  Cari:
  • dua contoh pantun 2 kerat/baris
  • dua contoh pantun 4 kerat/baris
  • satu contoh pantun 8 kerat/baris
2.  Hasilkan dua rangkap pantun empat kerat/baris yang bertemakan:

  • KELUARGA

(Taipkan di Microsoft Word atau tulis di kertas tulis.  Murid-murid di sekolah perlu simpan (save) tugasan anda di Work Space.  Murid-murid di rumah perlu simpan (save) tugasan anda di pemacu kilat USB (thumb drive) atau di sekeping kertas.  Bawa pemacu kilat USB (thumb drive) atau kertas tugasan ini ke sekolah esok.)


Ahad, 7 Mac 2010

BAWANG PUTIH, BAWANG MERAH

Salam Sejahtera murid-murid.

Cikgu harap kamu dalam keadaan sihat dan sejahtera.

Pagi ini merupakan kali pertama kamu membuat latihan Bahasa Melayu melalui blog. Cikgu harap kamu dapat meraih ilmu baru melalui latihan ini.

Bagi aktiviti hari ini, kamu perlu tonton video yang bertajuk Bawang Putih, Bawang Merah. Selepas menonton video ini, kamu harus membuat tugasan berdasarkan arahan yang diberi.




Arahan:
(1) Gunakan kata ajdektif untuk menggambarkan rupa dan sifat/sikap watak Mak Kundur, Merah, Mak Labu dan Putih. Kamu boleh menggunakan format berikut:
Mak Kundur
Rupa: gemuk,...
Sifat/Sikap: garang, ...
(2) Dengan menggunakan tidak kurang daripada 50 patah perkataan, berikan pendapat kamu selepas menonton cerita ini. Kamu boleh mulakan dengan frasa berikut:
Selepas menonton video ini, saya berpendapat bahawa ...
(Bagi soalan ini kamu boleh nyatakan perasaan kamu, adakah cerita ini menarik, apakah pengajaran yang terkandung dalam cerita ini dan lain-lain lagi)
Terdapat dua cara untuk kamu membuat latihan ini.
(1) Menaip tugasan anda menggunakan Microsoft Word dan e-melkan di alamat cikguhartini@yahoo.com.sg
atau
(2) Menulis di kertas tulis dan menghantarkannya kepada guru Bahasa Melayu kamu keesokan harinya.
Selamat Mencuba!